Wednesday, June 7, 2017

ASBABUN NUZUL

KISAH ABU LAHAB DAN UMMU JAMIL YANG DIMASUKKAN KE DALAM NERAKA YANG MENYALA-NYALA


Al-Lahab nama yang sesungguhnya adalah Abdul Uzza ibn Abdul Muthalib. Uzza adalah nama sebuah berhala yang disembah-sembah pada masa Jahiliyah. Kerana wajahnya teramat putih maka ia dikenali dengan panggilan Abu Lahab. Abu Lahab adalah saudara seayah dengan Rasulullah iaitu Abdullah jadi dia adalah bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Susuknya tinggi dan tegap serta berhati keras, kasar , tegas, bengis, peminum khamar dan apabila marah, suaranya kuat dan nyaring.

Ketika diberitahu budaknya yang bernama Tsuwaibah bahawa kakak iparnya Aminah (ibunda Muhammad Rasulullah) melahirkan, dia seraya berkata kepada Tsuwaibah :"Wahai Tsuwaibah, engkau pergilah dan mulai sekarang engkau merdeka." Ini mungkin kehendak Allah SWT kerana setelah merdeka, Tsuwaibah termasuk salah seorang yang menyusui Muhammad SAW.



Abu Lahab termasuk orang yang sangat menghormati dan memuja berhala sekitar Ka'bah. Disisi lain sebetulnya Abu Lahab sangat menyukai sifat dan peribadi anak saudaranya  itu, Muhammad SAW yang mempunyai sifat jujur, amanah dan sangat bijaksana juga isterinya Khadijah adalah wanita yang baik.

Untuk itulah maka ia dijodohkan putera-puteranya iaitu Utbah dan Mu'tb dengan puteri-puteri Muhammad iaitu Rukayyah dan Ummu Kultsum. Begitulah Allah berkehendak untuk mempererat kekerabatan diantara keduanya.

Namun ketika Allah mengangkat Muhammad sebagai utusan Nya yang menyeru manusia untuk menyembah kepada Nya dan berhenti menyembah berhala, inilah yang menjadi titik awal terjadinya permusuhan antara Muhammad dengan Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil.

Rasulullah dengan sokongan Shafiyah binti Abdul Muthalib ibu saudaranya mulai berda'wah dengan mengumpulkan saudara-saudara dan kerabatnya untuk mendengar seruannya. Ketika pada akhir da'wah beliau bertanya kepada saudara-saudara dan kerabatnya : "Siapakah diantara saudara-saudaraku yang mendukungku dan menyebarkan da'wah ini?"

Bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Thalib yang sangat menyayangi Rasulullah mengangkat suaranya : "Laksanakan apa yang Allah perintahkan kepadamu Muhammad.. Aku akan selalu menyokong dan menjagamu, namun aku tidak mampu untuk meninggalkan agama Abdul Muthalib." Sepupunya Ali bin Abu Thalib juga menyokongnya :"Aku akan selalu membantumu..Aku akan memerangi siapa saja yang memerangimu.."

Pada saat itu Rasulullah mulai berda'wah secara terbuka dan berseru diatas Bukit Safa  : "Bagaimana pendapat kamu jika aku memberitakan kepada kamu bahawa ada musuh berkuda keluar dari sebalik gunung ini lalu ia berkehendak merubah kamu sekelian, adakah kamu membenarkan daku?"

Sekian yang hadir menjawab ; "Ya kami percaya, kami tidak pernah mengetahui bahawa engkau (Muhammad) seorang yang berdusta."

Rasulullah SAW bersabda ; "Bahawa sesungguhnya aku ini pemberi peringatan kepada kamu, dihadapan sana terdapat siksa Tuhan yang sangat keras."

Banyak penduduk Mekah yang percaya, mendukung dan mengikuti ajaran Muhammad, kerana mereka tahu sifat kejujuran dan kebijaksanaan Muhammad. Namun ada pula yang menolaknya, apalagi setelah mendengar teriakan Abu Lahab : "Celakalah engkau wahai Muhammad.!! untuk inikah engkau mengumpulkan kami.."

Sejak hari itu, kisah permusuhan antara kaum Quraisy dan Rasulullah mulai bertiup kencang terutama permusuhan antara Rasulullah dengan Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil mulai menyala. Perjodohan anak-anaknya diputuskan, namun anak-anak Abu Lahab kelak masuk Islam.

Abu Lahab berserta isterinya sering kali menyakiti Rasulullah dengan cara menghina, melamparkan kotoran dihadapan beliau, mencaci maki beliau sehingga Allah SWT menurunkan ayat sebagaimana Surah Al-Masad. Mereka dibantu oleh Amr bin Hisyam (Abu Jahal). Abu Lahab menghasud kaum lelaki, Ummu Jamil menghasud kaum perempuan dan Abu Jahal menghasud pemuda-pemudanya.

Maka turunlah ayat al-Masad yang ke 3-5."Ia (Abu Lahb) akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala. Dan isterinya (Ummu Jamil) pembawa kayu bakar itu. Kelak pada lehernya ada tali dari sabut." Menjadi kebiasaan setiap wahyu yang diterima akan dibacakan kepada pengikut-pengikutnya. Pengikut-pengikutnya juga akan menyebut-nyebut wahyu tersebut sehinggalah suatu ketika sampailah ketelinga Ummu Jamil bahawa ia telah diejek dan dihina dengan tali sabut.

Ummu Jamil telah datang berjumpa dengan Rasulullah SAW ; "Adakah engkau melihat aku membawa kayu api bakar, dan adakah engkau melihat leherku ada tali dari sabut?"

Rasulullah SAW mendiamkan diri.

Pada hari yang lain, Ummu Jamil telah datang berjumpa dengan Nabi SAW yang ketika itu Abu Bakar ada disebelah beliau. Abu Bakar berkata kepada Nabi SAW ; "Lebih baik engkau menjauhkan diri dari sini."

Lantas datanglah Ummu Jamil dihadapan Abu Bakar dengan tidak melihat Rasulullah SAW; "Hai Abu Bakar, betulkah sahabatmu selalu menghina daku bergini......dan begitu....?"

Abu Bakar menjawab; "Tidak! Ia tidak menghina kamu, beliau hanya membacakan firman Tuhan."
Ummu Jami berkata; "Memang engkau yang membenarkan dia."
Kemudian Abu Bakar berkata kepada Nabi SAW ; "Dia tidak dapat melihat engkau."
Rasulullah menjawab; Malaikat selalu menutup-nutupi sehingga ia berpaling lalu pergi."

Hari demi hari semakin ramai yang mengikuti Rasulullah SAW. Abu Lahab dan isterinya semakin giat menghasut kaumnya. Maka berlakulah pertelingkahan antara kaum muslimin dan kaum musyrikin Mekkah sehingga pemuka-pemuka musyrikin Quraisy dan Abu Lahab pergi berjumpa dengan Abu Thalib bapa saudara Nabi SAW supaya menasihati Rasulullah SAW berhenti berdakwah. Namun tidak diambil berat oleh bapa saudaranya itu.

Suatu ketika, jari Rasulullah SAW bengkak dibaling batu dan menyebabkan Rasulullah SAW demam. Selama 3 hari baginda tidak keluar rumah.  Arwa binti Harb bin 'Umayyah (Ummu Jamil) datang kononnya ingin menziarahi Baginda tetapi telah mengejek dengan mengatakan ; "Muhammad, mengapa engkau tidak keluar-keluar dari rumah dan membawa berita yang sangat ajaib? Saya menyangka syaitanmu telah meninggalkan kamu kerana dua atau tiga hari tidak berkunjung kepadamu, dan barangkali ia tidak sudi lagi mendekati atau barangkali ia telah marah kepadamu."

Ejekan ini telah tersebar di kalangan musyrikin Qurasy dan mula bersangka-sangka; "Oh, sekarang Muhammad telah ditinggalkan oleh Tuhannya, kerana Tuhannya telah memarahinya, maka sekarang ia sangat malu keluar rumahnya untuk menampakkan air mukanya."




Rasulullah SAW sangat berdukacita dengan ejekan-ejekan itu. Maka turunlah wahyu kepada Baginda; "Demi Matahari apabila telah meningkat. Demi malam hari apabila telah kelam, Tuhanmu tidaklah meninggalkan dikau dan tidak pula marah (kepadamu)." (Adh-Dhuha 93: 1-3)


Seketika itu juga Rasulullah SAW rasa sangat gembira, kemudian bertakbir dan bersyukur kepada Allah Yang Maha Besar.

Usaha Abu Lahab langsung tidak berjaya untuk memberhentikan dakwah Nabi SAW. Maka beliau mula menyakiti Nabi SAW. Suatu ketika Abu Lahab melemparkan kotoran najis dihadapan rumah Baginda. lantas Baginda membersihkannya sendiri.

Pada suatu waktu, Abu Lahab sekali lagi membuang kotoran dihadapan rumah Rasulullah SAW. Sambil membersihkannya, Rasulullah SAW berkata; "Hai anak cucu Abdu Manaf! Beginikah cara orang-orang bertetangga?"

Pada suatu pagi, semasa Abu Lahab sedang membuang najis di hadapan rumah Rasulullah SAW telah diketahui oleh Hamzah (Pakcik Nabi SAW sebelum masuk Islam), lalu Hamzah mengambil najis tersebut dilemparkan kepada Abu Lahab.Lantas Abu Lahab memaki Hamzah dengan suara yang kasar.

Ummu Jamil pula mengadu domba kepada Abu Sufyan abangnya; "Hai abang! Engkau marah tak jika engkau mendengar adikmu dicaci orang?"
Abu Sufyan menjawab; "Sudah tentu aku marah."
Ummu Jamil menyambung; "Muhammad sekarang selalu mencaci maki aku dan mengata-ngata aku dengan perkataan jijik dan keji."
Abu Sufyan menambah; "Kalau begitu sekarang juga Muhammad aku bunuh." sambil mengambil pedangnya dan ke rumah Rasulullah SAW. Sampai sekerat jalan, ia berpatah balik dengan tergesa-gesa.
Ummu Jamil bertanya; "Adakah engkau sudah membunuh Muhammad?"
Abu Sufyam menjawab; "Oh adik ku, adakah engkau suka abangmu dimakan ular?"
Ummu Jamil terus menjawab; "Demi Latta tentu aku tidak akan suka, bahkan sangat merisaukan."
Abu Sufyan menceritakan; "Sewaktu aku ditengah jalan, ada seekor ular yang sangat besar ingin menelanku jika aku hampiri rumah Muhammad. Ular itu mengejarku, maka aku lari dengan tergesa-gesa kerana aku takut."

Setelah kematian bapa saudaranya Abu Thalib dan isterinya Khadijah r.a, Rasulullah SAW merasa sedih sehingga jarang Baginda keluar rumah. Abu lahab pakciknya datang menziarahi dan berkata; "Ya Muhammad! Teruskanlah oleh mu apa-apa yang telah kamu kehendaki, dan kerjakanlah oleh mu segala apa yang pernah kamu perbuat dikala Abu Thalib masih hidup. Maka sekarang akulah yang membela kamu!"

Dengan perkataan ini, Rasulullah SAW keluar rumah sebagaimana biasa. Pemuka Quraisy tidak berani mengganggu Nabi SAW. Selang beberapa hari , datanglah pembesar dan pemuka Quraisy bertanyakan kepada Abu Lahab; "Hai Aba Atbah (Abu Lahab)! Betulkah engkau sekarang telah keluar dari agama orang tuamu, Abdul Muthalib?"

Abu Lahab menjawab;"Tidak! Saya tidak keluar dari agama orang tuaku, Abdul Muthalib."
Mereka yang lain berkata; "Janganlah begitu, katakanlah yang sebenarnya kepada kami, kerana kami telah mendengar bahawa kamu sekarang telah keluar dari agama orang tua mu, Abdul Muthalib dan mengikut agama Muhammad."

Abu Lahab menjawab; " Tidak! Sesekali tidak. Saya hanya menghalangi orang yang hendak membuat sewenang-wenang dan menganiaya anak saudaraku, agar dia dapat meneruskan kehendaknya sebagaimana semasa Abu Thalib masih hidup." Mendengarkan itu, mereka pun berkata; "Kalau begitu baiklah, memang engkau seorang yang baik budi, dan engkaulah orang yang memelihara kehormatan saudaramu dan engkaulah tidak suka memutuskan persaudaraan."

Selang beberapa hari, datanglah Abu Jahal dan Uqbah bin Abi Mu'aith menghasut Abu Lahab supaya tidak memberi perlindungan kepada Rasulullah SAW. Dengan menimbulkan kemarahan Abu Lahab terhadap Baginda. Maka kembalilah Abu Lahab memusuhi Rasulullah SAW. Rasulullah SAW mengambil pendekatan dakwah dengan menghampiri kabilah-kabilah Arab dari luar Mekkah yang datang ke Mekkah. Sewaktu mereka beristirehat, Rasulullah SAW datang bertanyakan khabar dan menyampaikan seruannya. Setiap kali selepas seruannya, datang Abu Lahab mencantas dakwah Nabi SAW.

Apabila  Rasulullah menyeru; " Hai sekelian manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kamu sekelian supaya menyembah kepada Nya, dan jangan kamu menyegutukan Dia dengan sesuatu." Abu Lahab akan pasti mencantas dengan berkata; "Hai sekelian manusia, sesungguhnya orang ini memerintahkan kamu sekelian supaya meninggalkan agama orang-orang tuamu dahulu."

Apabila Rasulullah SAW menyeru; "Hai sekelian manusia! Ucapkanlah olehmu, Tiada Tuhan melainkan Allah, supaya kamu berbahagia." Datang Abu Lahab membangkang; "Hai sekelian manusia, janganlah kamu dengar perkataan orang ini kerana dia itu pendusta!"

Apabila Rasulullah SAW menyeru; "Hai keturunan Fulan! Sesungguhnya aku ini Rasul Allah yang diutuskan untuk kamu sekelian, aku memerintahkan kepada kamu supaya menyembah kepada Allah dan janganlah kamu menyengutukan Dia dengan sesuatu. Dan hendaklah kamu melepaskan segala sesuatu yang kamu sembah dari selain Allah dari persekutuan-persekutuan ini, dan hendaklah kamu percaya kepadaku dan membenarkanku!"

Lantas Abu Lahab mencantas; "Hai keturunan Fulan! Sesungguhnya orang ini hanya mengajak kamu supaya kamu melepaskan berhala Latta dan Uzza dari sesembahanmu, kamu diajak olehnya untuk mengerjakan perbuatan bid'ah dan kesesatan kerana itu janganlah kamu mengikut dia dan janganlah kamu dengarkan dia."

Tariq al-Muharibi menceritakan; "Ketika kami dipasar Dhi al-Majaz, saya ternampak seorang lelaki separuh umur berkata; "Wahai saudara-saudara sekelian! Ucapkanlah Tiada Tuhan melainkan Allah. Kelak kamu akan berjaya." Tiba-tiba saya nampak seorang lelaki melemparkan sesuatu kepadanya dari belakang sehingga betis dan tumitnya berdarah. lelaki itu mencelah; "Wahai saudara-saudara! Dia ini seorang pendusta dan janganlah kamu mempercayai cakapnya. "Maka aku pun bertanya; "Siapakah lelaki itu?" Ayahku menjawab itulah Muhammad yang mendakwa dirinya seorang Nabi dan itu pula bapa saudaranya Abu Lahab yang mendakwa ia seorang pendusta."

Pada saat peperangan Badar, Abu Lahab kerana badannya sudah tidak kuat lagi maka dia tidak ikut serta didalam peperangan tersebut. Namun bersama para pemimpin Quraisy yang tidak ikut berperang, dia menyokong perbekalan dan kuda-kuda yang baik untuk memerangi Rasulullah dan pengikutnya. Untuk ini Allah SWT menurunkan ayat (QS 8 -Al 'Afaal :36). Beliau telah menghantar 'Ash bin Hisyam dengan bayaran 4000 dirham sebagai bayaran hutangnya dengan Abu Lahab.

Abu Lahab juga telah menganjurkan anak lelakinya menceraikan anak perempuan Rasulullah SAW, Ruqqayyah dan Ummu Kalsum sebagai penghinaan kepada Rasulullah.

Melihat kekalahan kaumnya dan banyak kaum Quraisy yang terluka serta terbunuh, Abu Lahab semakin geram dan sangat sedih. Kesedihannya yang mendalam ini menimbulkan bisul yang menyerang sekujur tubuhnya. Orang-orang tidak berani mendekatinya kerana takut dijangkiti. bahkan kedua anaknya pun meninggalkannya dan mengikut kaum Muslim.

Begitu pula saat Abu Lahab meninggal, tidak ada seorangpun yang mahu menguruskannya kerana takut merebaknya penyakit itu. Selama 3 hari mayatnya dibiarkan membusuk dan mereka seret ke pemakaman dan membiarkannya tanpa dimasukkan ke liang lahat serta melemparinya dengan batu dan pasir sehingga mayatnya tertimbun. Begitu akhir kehidupan Abu Lahab, musuh Allah dan Rasul Nya.







No comments:

Post a Comment